Sejarah Masalah tiga jasad

Masalah kegravitian tiga jasad dalam erti kata tradisionalnya boleh dijejak kembali seawal tahun 1687, ketika Isaac Newton menerbitkan Principia (Philosophiæ Naturalis Principia Mathematica). Dalam Cadangan 66 dalam Buku 1 Principia, dan 22 Rumusan terbitan tersebut, Newton telah mengorak langkah pertama dalam penakrifan dan kajian masalah pergerakan tiga jasad berjisim yang dikenakan tarikan graviti yang saling bersilang. Dalam Cadangan 25 hingga 35 Buku 3, Newton juga telah mengambil langkah pertama dalam menggunakan hasil dalam Cadangan 66 di dalam teori qamari, pergerakan bulan di bawah pengaruh graviti Bumi dan Matahari.

Ketika suku kedua abad ke-18, masalah untuk memperbaiki ketepatan teori qamari telah menjadi topik yang menarik perhatian. Perhatian ini hadir terutamanya kerana hasilnya dianggap boleh digunakan dalam navigasi, iaitu pembangunan kaedah untuk menentukan longitud geografi di lautan. Berdasarkan hasil kerja Newton, didapati sekurang-kurangnya sebagaian besar masalah dalam teori qamari datang daripada penilaian kesan mengganggu Matahari ke atas pergerakan Bulan di sekeliling Bumi.

Jean d'Alembert dan Alexis Clairaut, dua orang yang telah bersaing sejak sekian lama, telah mencuba untuk meneliti masalah ini dalam tahap keumuman yang berbeza, dan dengan penggunaan persamaan pembezaan untuk diselesaikan dengan anggaran lanjut. Mereka telah menghantar analisis-analisis pertama mereka ke Académie Royale des Sciences pada tahun 1747.[2]

Berhubungan dengan para pengkaji ini, di Paris pada tahun 1740-an, nama "masalah tiga jasad" (Problème des Trois Corps) mula digunakan secara meluas. Satu dakwaan yang diterbitkan pada 1761 oleh Jean d'Alembert menunjukkan bahawa nama tersebut digunakan buat kali pertama pada 1747.[3]

Pada 1887, ahli matematik Ernst Bruns[4] dan Henri Poincaré menunjukkan bahawa tidak ada penyelesaian analitik umum bagi masalah tiga jasad yang diberikan oleh ungkapan algebra dan kamiran. Pergerakan tiga jasad biasanya tidak berulang kecuali dalam keadaan-keadaan khas.[5]